Selamat Datang Ke Blog Zul Fauzi

Sebarang komen serta pandangan amat dialu-alukan. Terima kasih

Sunday, November 28, 2010

Saksikan 10 Insan Kecil yang Terajaib Di Dunia: Apabila seorang Darwis mula berkata-kata...

Assalammualaikum...sahabat-sahabat yang dikasihi..Sudah lama sang Darwis tidak meng-up-to-date diari hariannya..Minta maaf, tercampur bahasa sikit.Takut nanti buat ayat penuh skema pula jadinya..hehe...
Baiklah, saya tidak berkesempatan lagi untuk menyambung cerpen; Kau yang Teristimewa memandangkan begitu banyak perkara dan tugasan yang perlu dilakukan..

Baiklah, kali ini Darwis ingin mengajak saudara-saudari, para sahabat untuk melihat, menghayati dan menilai 10 orang budak ajaib di dunia. Kenapa 10? bukan 15, 40 atau 100 orang. Adakah Malaysia yang mempunyai insan bernama Adiputra yang sangat mahir menyelesaikan masalah Matematik di peringkat tinggi pada usia 7 tahun, tergolong dalam 10 orang ini? mari kita semua saksikan...........

Insan-insan ini merupakan anugerah Allah S.W.T. yang sangat ternilai..membuktikan kekuasaan dan keagunganNya...

1. Kim Ung-Yong : Insan yang Ber-IQ Tertinggi di Dunia


Anak kecil ini lahir pada tahun 1962, berbangsa Korea dan telah dinobatkan sebagai manusia 'genius' di seantero dunia. Sahabat-sahabat, semasa beliau baru  berumur 4 tahun, beliau sudah boleh membaca dengan sangat baik tulisan Jepun , Korea , Jerman dan Inggeris. Memang terbukti ke'geniusan' insan ini. Darwis pun baru tahu membaca pada usia 6 tahun. Itu pun masih terkial-kial dan ada telo-telonye...hehe.. Semasa berumur 5 tahun pula, beliau mampu menyelesaikan masalah Matematik berkaitan dengan kalkulus. Dengan secara rasminya, beliau telah mencatatkan dirinya pada Guinness Book of World Records dengan mencapai "Highest IQ" 210. Memang 'supergifted' betul la...kata Darwis

2. Gregory Smith : Beliau Telah Mendapat Penghargaan Nobel Seawal Usia 12 Tahun!!

Memang terkesima Darwis apabila melihat si kecil ini menerima hadiah nobel pada usia setahun jagung. Apakah yang telah beliau sumbangkan? Bukan calang-calang orang boleh dapat hadiah ini kerana perlu menjalani beberapa tapisan yang agak teliti berdasarkan sumbangan yang boleh memberikan kebaikan kepada manusia sejagat.. Di kemuncaknya, nama dapat, wang berjuta-juta pun dapat...angan dah Darwis ni.ish..ish..Oklah, untuk pengetahuan para sahabat,insan bernama Smith ini lahir pada tahun 1990. Atas sumbangannya menubuhkan International Youth Advocates iaitu Pertubuhan Perkumpulan Orang Muda di seluruh dunia, beliau telah dianugerahkan nobel keamanan. Bertuah sungguh Smith ni sebab namanya sudah sebaris dengan tokoh-tokoh nobel seperti Albert Enstein ( Fizik ) , James Chadwick ( Fizik ), Ahmed H. Zewail ( Kimia ), Yasser Arafat ( Keamanan ) dan sebagainya.

3. Akrit Jaswal : Doktor Bedah pada usia 7 tahun


Di beri jolokan "anak terpandai di dunia" sememangnya telah sebati pada diri bernama Akrit Jaswal, seorang insan kecil dari negara India. Beliau telah mengemparkan dunia kerana ketika berusia umur 7 tahun, beliau telah melakukan pembedahan kepada seorang gadis yang menderita luka terbakar di tangannya yang menyebabkan tangannya tidak dapat dibuka. Akhirnya dengan 'kepakaran' yang diberikan kepada Jaswal, beliau pun  melakukan pembedahan sehinggalah kesemua jari gadis itu boleh terbuka dengan sempurna. Sehingga pada saat ini, beliau telah mencatatkan dirinya sebagai doktor paling muda di dunia. Disebabkan kepakarannya yang luar biasa, beliau telah diterima masuk ke universiti pada usia 11 tahun. Jadi, kepada sesiapa yang mahu menjadi doktor di luar sana, silalah berguru dengan Jaswal. Jangan tersilap orang pula, almaklumlah, kat India sana lebih banyak pelakon terkenal berbanding doktor yang kita tahu..betol tak?

4. Cleopatra Stratan : Bergelar Penyanyi Pada Usia 3 Tahun dengan Gajinya 1000€ (Euro) per lagu
Anak comel ini lahir pada 6 Oktober 2002 di Chisinau iaitu ibu negara Moldova. Beliau mencatat sejarah dalam industri muzik negara itu apabila menjadi seorang penyanyi termuda yang telah merakam album yang cukup hitz. Darwis juga pernah mendengar lagu si cilik ini tetapi beranggapan suara ini mungkin dinyanyikan oleh orang dewasa dan nadanya telah diubah suai menjadi kecil. Ala-ala Alvin & The Chipmunk..hehe..Tetapi akhirnya baharulah saya tahu lagu tersebut sememangnya dinyanyikan oleh Cleopatra sendiri. Hebat sungguh si comel ini bernyanyi. Ini baru masa kecil, masa besar nanti lagilah meletop abis..sudahlah Darwis, jangan dok menambah pula..hihi..
Dengan albumnya bernama La vĂ¢rsta de trei ani iaitu pada usia 3 tahun, beliau telah mencatat rekod seorang artis cilik yang tampil di atas pentas untuk menghiburkan ribuan peminatnya di seluruh dunia. Beliau juga menerima penghargaan tertinggi MTV Award sebagai Artis termuda yang telah menerbitkan berjuta-juta unit bagi album-albumnya selepas itu. Bayangkan sahabat, satu lagu 1000 euro, memang jadi jutawan la si cilik ni. Kalau tukar duit Malaysia, satu lagu dekat RM 6000..tu dia, leh buat 'down payment' proton Inspira jawabnya.
5. Aelita Andre : Menjadi pelukis di usia 2 tahun
Cuba sahabat bayangkan, jika di dalam pasar budaya terdapat seorang insan cilik yang sedang sibuk melukis potret atau lukisan yang begitu mengagumkan. Pasti pelik dan ajaib bukan? Tetapi itulah yang terjadi kepada adik Aelita yang telah mahir melukis pada usia 2 tahun lagi. Satu lagi kekuasaan Allah S.W.T. telah ditunjukkan...
Anak kelahiran Australia yang berusia 2 tahun ini sudah mula menunjukkan bahawa beliau sememangnya seorang genius dalam seni lukisan. Apa tidaknya, beliau sudah memiliki sebuah gedung pertunjukkan untuk karya-karya abstraknya yang begitu hebat dan memukau. Terdetik hati Mark Jamieson, pengarah dari Brunswick Street Gallery di Melbourne's Fitzroy yang begitu tertarik melihat sebuah lukisan daripada adik Aelita Andre. Pengarah itu  menginginkan lukisan Aelita bergabung dengan pelukis-pelukis terkenal di bawah naungannya kerana keaslian lukisannya itu. Darwis sendiri masih kekok melukis sepohon pokok dengan sebatang pensel..mumgkin perlu banyak belajar daripada adik Aelita.
6. Saul Aaron Kripke : Menjadi Pengajar di Universiti Havard Walaupun  Masih Belajar di  Sekolah ?
Beliau lahir di New York dan menetap di Omaha pada tahun 1940. Insan kecil ini menguasai aljabar atau lebih sinonim disebut algebra pada usia 10 tahun. 10 tahun? Darwis pada masa itu baru berjinak-jinak dengan pendaraban dan bahagi. Tak ada lagi istilah algebra. Sewaktu menamatkan sesi persekolahan di peringkat rendah, beliau sudah menguasai geometri, kalkulus dan falsafah. Ketika di pengajian menengah pula, beliau memperoleh surat tawaran dari Harvard yang melantiknya sebagai pensyarah. Namun ibunya menasihatinya supaya menamatkan sekolahnya terlebih dahulu. Adik Kripke ini dihadiahkan Schock Prize iaitu sebuah Nobel Falsafah. Sehingga sekarang, beliau dinobatkan sebagai ahli Falsafah tersohor dalam sejarah dunia. Seorang lagi insan cilik yang mengoncang dunia. Apabila seorang Darwis mula berkata-kata...
7. Michael Kevin Keaulus yang menamatkan pengajian Universiti pada usia 10 tahun

Kevin yang lahir tahun 1984 telah  menamatkan 'kuliahnya' pada umur 10 tahun!! dan tercatat sebagai seorang sarjana termuda. Dia dilantik sebagai pensyarah pada usia 17 tahun. Namanya semakin dikenali ramai apabila beliau telah memenangi  sebuah kuiz dengan nilai hadiah sebanyak 1 Juta GBP!! Begitulah keistimewaan yang diberikan kepada insan ini. Darwis sendiri baru sahaja menghabiskan pengajian peringat sarjana muda pada usia 23 tahun begitu jauh jaraknya..sarjana? erm..tak tahu lagi bila nak sambung..
8. Fabiano Luigi Caruana : Grandmaster catur pada usia 14 tahun

Anak hebat ini berwarganegara Amerika dan Itali sungguh genius dalam permainan catur. Pada tahun 2007, beliau memperoleh Grandmasternya dan bertahan selama 11 bulan, 20 hari. Sejarah catur telah mencatat namanya sebagai Grandmaster termuda. Baru-baru ini iaitu pada bulan April 2009, beliau  memperoleh Elo rating 2649, pada usianya kurang 18 tahun!! Sekaligus membuatkannya sebagai pemeroleh ranking terbanyak. Segan rasanya Darwis kerana masih tidak mengetahui permainan catur sampai sekarang. Adik Fabiano, tolong ajar saya..hehe. Tapi, kalau nak cabar main dam ular mesti adik ni tak dapat 'celen' sebab ia tak memerlukan strategi, cuma nasib semata-mata..cubalah.

9. Willie Mosconi : Pemain Billiard ( Snuker ) Professional pada usia 6
Diberi jolokan "Tuan Pocket Billiards". Aik, macam pernah dengar pocket ni, tapi di mana ya? Oh ya, baru teringat. The Rocket Pocket Man milik Azizulhasni Awang la, pelumba basikal trek nagara kita. Beliau berasal dari Philadelphia, sebuah bandar di negeri Pennsylvania . Dikatakan bahawa ayahnya adalah seorang pemilik tempat billiard, namun ayahnya tidak sesekali mengizinkannya bermain billiard. 
Dalam diam-diam, beliau berlatih permainan ini menggunakan penyapu milik ibunya. Sampai macam tu sekali. "Orang dah minat, tak boleh nak halang ayahnya". Mungkin itu kata-kata mak Mosconi untuk memujuk ayahnya. Pada masa yang sama, ayahnya melihat bakat anaknya yang sering mengalahkan orang-orang yang lebih tua daripadanya. Antara tahun 1941 dan 1957, dia telah menjadi juara BCA World Championship selama 15 kali tanpa kalah. Dari situ, beliau memukau dunia melalui "total billiard" dengan membuat berbagai macam trik yang sangat "marvellous" dan membuat banyak rekod melaluinya. Dulu Darwis pernah pukul bola snuker tapi susah betul nak masuk. Nampak mudah, tapi bila sekali main, baru tau memang sukar...
 
10. Elaina Smith : DJ radio Pada Usia 7 tahun
Dalam usianya yang baru menjangkau 7 tahun,  Elaina telah menjadi penyiar@ DJ radio dengan kebanyakan pendengarnya  melebihi umurnya. Adik Elaina banyak memberikan penyelesaian tentang percintaan kepada para pendengar setianya.  Antaranya ialah bagaimana caranya untuk berpisah dengan kekasih dan bagaimana caranya untuk membina hubungan yang harmonis. WOW!! romantis sungguh adik Elaina. Beruntungla kepada  pria-pria yang memiliki adik ini setelah dewasa. Banyak tips percintaan yang beliau ada sehingga mampu mencairkan peminat-peminatnya... nasib baik Darwis tak ada radio, kalau ada...hehe...



Nampaknya Adik Adiputra tidak tergolong di dalam 10 insan kecil yang ajaib dan hebat di muka bumi ini. Tak apa lah, kalau tak tergolong pun tak apa. Banyak lagi penghargaan lain yang lebih baik. Manakan tahu adik Adiputra menjadi calon nobel satu hari nanti..insyaAllah. Kita harapkan ada seseorang yang mampu mengharumkan nama negara melalui pengiktirafan tertinggi ini. Sebenarnya Darwis kurang setuju dengan pemilihan seseorang calon dalam mengiktiraf sumbangan dan keupayaannya. Jelas sekali ditunjukan begitu sedikit calon yang beragama Islam mendapat pengiktirafan sedangkan kita mengetahui tokoh-tokoh ilmuan Islam sudah mula bercambah dari sehari ke sehari dengan penemuan-penemuan yang menghadirkan iri hati kepada sarjana-sarjana Barat. Apa boleh buat, orang-orang Barat sahaja yang memonopoli pemilihan ini. Semestinya kuota  mereka lebih banyak berbanding orang 'lain'. Erm..riak pun boleh memakan diri, tak gitu..Darwis sudah mula berkata-kata...tamat.........





No comments:

Post a Comment