Selamat Datang Ke Blog Zul Fauzi

Sebarang komen serta pandangan amat dialu-alukan. Terima kasih

Sunday, November 21, 2010

Sulaman Kasih Pengikat Jiwa:Kau Yang Teristimewa (Bahagian 1)

Sulaman Kasih Pengikat Jiwa:Kau Yang Teristimewa

Aku baru sahaja menamatkan minggu orientasi di sebuah kolej matrikulasi di utara tanah air. Masih ada setahun lebih aku di sini untuk menamatkan pengajian dalam sains hayat. Begitu perit rasanya di sini kerana semua perkara perlu dibuat dengan pantas. Dengan sesi kuliah dan tutorial yang amat panjang sehingga lewat petang. Kemudian, tugasan kerja yang menimbun-nimbun pada setiap hari dan perlu segera disiapkan seperti yang diminta oleh pensyarah. Banyak kali juga aku lewat tidur kerana perlu menyiapkan kesemua kerja tersebut. Setahun bagaikan 10 tahun lamanya."Oh, tidak!!", bisik hatiku. Sanggupkah aku bertahan dengan semua dugaan ini atau aku menyerah sahaja................

Trut trut...trut trut.....
Deringan telefon bimbitku berdering lagi. Aku tidak pasti siapakah yang menelefon ku di saat ni. Aku baharu sahaja melepaskan lelah seketika di bangku panjang yang berada berhampiran dengan dewan kuliah. Mungkinkah mamaku yang sering bertanya khabar ku di sini atau rakan-rakan yang sedang mencari aku untuk bersama-sama menikmati makanan tengah hari di kantin.
"Ah, siapa pula yang telefon ni. Aku baru sahaja hendak berehat mencari ketenangan", jawabku.
"Assalamualaikum..boleh saya bercakap dengan  Fareez ", suara misteri itu bertanya.
"Waalaikumusalam..memang betul saya ni Fareez. Siapa yang bercakap ni", aku bersuara.
"Saya penyelaras program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Perguruan D.A. Nama saya Nazrah Binti Asari,"jawabnya.
"Macam pernah ku dengar program ini. Tapi di mana ye..erm," bicaraku.
"Oh...aku teringat bahawa baru-baru ini aku telah menjalani interview pengambilan pelatih guru bagi program Ijazah Perguruan Empat Tahun dan baru semalam aku telah menyemak keputusannya yang menyatakan aku sememangnya telah berjaya.
"Tahniah Farezz!!! Awak telah berjaya untuk mengikuti program ijazah yang disediakan oleh institut kami," katanya dengan nada yang ceria.
"Kursus apakah yang akan saya ikuti dan bilakah saya boleh mendaftar," bertalu-talu ku  bertanya kepadanya sebagai penjelasan.
"Anda akan mengikuti kursus Matematik dan pendaftaran boleh dibuat dua minggu dari tarikh pemberitahuan ini. Ada sebarang lagi pertanyaan?
"Setakat ini tidak ada lagi. Saya rasa cukup setakat ini puan," aku membahasakan diri kepadanya.
" Kalau Fareez ada sebarang pertanyaan, boleh hubungi saya kembali dengan menggunakan nombor ini, ok. Assalamualaikum," pintanya
"Waalaikumussalam, terima kasih puan.......
Aku bagaikan seseorang yang baru sedar daripada mimpi indah kerana keperitan yang melandaku pada saat ini di sini bakal berakhir. Aku akan meninggalkan kampus matrik ini dua minggu dari sekarang dan pada masa yang sama, aku tidak perlu lagi bersusah payah menyiapkan tugasan yang melambak-lambak dan mengikuti kuliah yang begitu padat dan lama.
...................................................................................................................................................................
Sudah seminggu ku berada di institut ini yang terletak di negeri jelapang padi Malaysia. Lega rasanya setelah mengharungi minggu orientasi yang agak mencabar fizikal dan mental diriku. Apa tidaknya, tiap-tiap pagi sebelum subuh, saya dan rakan-rakan perlu berjalan kali dari rumah sewa ke institut sepanjang 2 kilometer pergi dan balik. Diri yang tadinya wangi dan harum semerbak bak sejambak bunga ros mula kehilangan dilapisi titisan keringat. Sangat lama perjalanan itu...." Boleh tahan juga ketahanan yang perlu dimiliki oleh seorang guru ini", bisik hatiku.

Sesi kuliah baru sahaja bermula pada minggu kedua. Aku seperti kembali berada di bangku persekolahan kerana sistem kelas yang dilaksanakan sama seperti sekolah iaitu kelas telah ditetapkan. Keadaan di dalam kelas juga sama dari segi susunan meja dan kerusi, tiada perbezaan. Jika di matrik dulu, aku bersama rakan sekelas terpaksa berkejaran ke sana dan ke mari mencari dewan kuliah dan kelas tutorial. Kadang-kadang sampai tersesat.hehe..

Sungguh bertuah diriku ini setelah menjadi pelajar institut perguruan. Elaun tiap-tiap bulan dapat, sesi kuliah tidaklah padat berbanding di matrik. Sesi kuliah akan tamat pada pukul 1.30 petang setiap hari. Tugasan yang diberikan juga amat berpadanan dengan kemampuan kami. Waktu petang boleh tidur lama sikit dan sebarang kerja boleh dilakukan pada sebelah malam."Memang beruntung aku berada di sini, kalau lah aku menolak tawaran program ini, memang menyesal seumur hidup", hatiku berbisik.

Terdapat 24 orang kesemuanya rakan kelasku. 13 lelaki dan 11 lagi perempuan. Aku hanya berkawan rapat dengan beberapa orang rakan yang serumah denganku. Aku ketika berada di kelas lebih banyak mendiamkan diri dan hanya bercakap apabila ditanya sahaja. Aku merupakan seorang yang pendiam dan pemalu. Tidak hairanlah aku menjadi seseorang yang sangat 'low profile' dan sentiasa merendah diri di dalam kelas. Aku juga kurang bertegur sapa dengan golongan hawa. Tidak mungkin aku mempunyai kawan yang berlainan 'gender' denganku. "Sedangkan di waktu sekolah dulu pun aku tidak pernah berkawan dengan perempuan, inikan pula di sini...tidak, malu aku dibuatnya", kataku.

Aku masih teringat sewaktu salah seorang pelajar perempuan bertanyakanku pasal sesuatu di sekolah dulu. Aku tidak melihat mukanya langsung malah ketika bercakap, aku hanya memandang lantai sahaja. Lawak betul la. "Malu sampai tahap tu", aku ketawa kecil. Aku sememangnya tidak berani dekat dengan perempuan apatah lagi bertegur sapa. Malahan setelah empat bulan aku berada di sini, aku masih tidak mengenali nama kesemua rakan perempuan. Nama yang sering disebut oleh pensyarah sahaja boleh aku ingat. "Teruknya diriku, kera sumbangku semakin menjadi-jadi," rintih hatiku.

Kadang-kala ketika pensyarah sedang tekun menerangkan isi pengajarannya di dalam kelas, aku sempat berpaling dan mencuri-curi tengok setiap wajah rakan perempuan yang juga khusyuk mendengar kuliah.  "Semalu-malu aku, ada juga nakalnya," aku ketawa kecil.
Pada masa yang sama aku juga dapat melihat seorang dua rakan yang sedang kusyuk tidur!!!
"Letih dan ngantuk kot diorang nie, banyak kerja kursus yang perlu segera disiapkan,".
Aku juga agak mengantuk, tetapi tetap gagahi juga mendengar dan menyalin setiap penerangan oleh pensyarah.
..................................................................................................................................................................
Dalam banyak-banyak rakan perempuan yang aku perhatikan, aku acap kali memandang seseorang yang duduk di barisan belakang sekali. Dia duduk di tengah-tengah dengan diapit oleh kedua-dua rakannya yang agak tinggi. Mulus wajahnya, mancung hidungnya, ayu sungguh perawakannya, sangat sopan dengan tudung berlitup kemas. Tertawan hatiku apabila memandang wajahnya. "Adakah aku telah dilamun cinta? Adakah aku telah merasai bibit-bibit percintaan yang telah diluahkan dalam hatiku setelah sekian lama terpendam? " Ya Allah, bagaimana aku ingin menerima perasaan ini sedangkan aku sendiri malu dengan perempuan". Perlukah aku menahan perasaan ini daripada terus merebak atau aku perlu berani menghadapi saat ini dengan diriku memulakan tunas-tunas perkenalan dengannya. Arissa namanya, sungguh ayu, seayu wajahnya................(bersambung)

No comments:

Post a Comment